Lame kan xupdate blog! rindu kite ngan blog sendiri ^_______^
Ok, let make it a bit serious.. baru-baru ni kena hantar satu permohonan untuk satu program.. n kena tulis esei.. berkenaan salah satu dasar kerajaan.. disebabkan perkataan limited.. inilah hasilnya.
Dasar
merupakan kenyataan mengenai hasrat bagi mencapai sesuatu maksud atau kehendak.
Dasar dirangka untuk meningkatkan kecekapan, produktiviti, mengurangkan kos
pengurusan, meletakkan asas pentadbiran
negara mahupun organisasi dan banyak lagi. Pada pengamatan saya, dasar kerajaan
yang paling penting ialah dasar pendidikan kebangsaan.
Sejarah sistem pendidikan di
Malaysia terbahagi kepada tiga era iaitu; sebelum kedatangan British, sewaktu
pemerintahan British dan selepas pemerintahan British. Sebelum kedatangan
British, pendidikan agama ditekankan. Sekolah agama awal seperti sekolah pondok
di Terengganu dan Kelantan pada abad ke-18 dan Kedah, Perak serta Pulau Pinang
pada penghujung abad ke-19. Selain itu, terdapat pendidikan tidak formal
melalui orang yang lebih tua berkenaan kemahiran asas kehidupan serta
pendidikan istana yang dipelajari oleh sultan dan para kerabat diraja .Tambahan
pula terdapat pendidikan melalui penglipur lara yang menyampaikan cerita
lagenda dan dongeng yang mempunyai nilai-nilai murni untuk pengajaran semua.
Semasa kedatangan British,
pendidikan kebanyakannya terpaksa dibiayai oleh orang perseorangan atau
organisasi islam orang Melayu. Terdapat madrasah yang mementingkan ilmu
keduniaan dan ilmu akhirat. Selain itu, sekolah pondok diteruskan dan
penambahan sekolah vernakular yang mengikut pecahan kaum dibentuk. Terdapat
beberapa laporan pendidikan di peringkat awal termasuk Laporan Barnes pada
tahun 1949 dan Laporan Fenn-Wu pada tahun 1951 yang bertujuan untuk menyatukan
semua sekolah vernakular dan menggubal sistem pendidikan sekolah-sekolah Cina
di Tanah Melayu .Ordinan Pelajaran juga dibentuk pada tahun 1952, bertujuan
menubuhkan sekolah-sekolah bercorak ‘Kebangsaan’ dan ‘Jenis Kebangsaan’
Perkembangan dasar pendidikan selepas
kemerdekaan daripada British merangkumi laporan-laporan pendidikan seperti
Penyata Razak pada tahun 1956 yang bertujuan untuk mewujudkan sistem pelajaran
yang sama bagi kaum dan Penyata Rahman Talib pada tahun 1959 yang mencadangkan
pendidikan percuma kepada semua pelajar sekolah. Kedua-dua penyata tersebut
menjadi asas kepada sistem pendidikan di Malaysia. Pendemokrasian pendidikan
berlaku pada tahun 1996 melalui dasar pendidikan kerajaan. Antara perubahan
yang dilakukan ialah menyediakan kurikulum baru sekolah rendah (KBSR) yang
berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang menjurus kurikulum
bersepadu sekolah menengah. Selain itu pendidikan vokasional dan teknik
diperluas serta aktiviti ko-kurikulum digalakkan.
Pada pendapat saya, dasar pendidikan
kebangsaan boleh dimantapkan dengan cara memperkukuh dan mengutamakan latihan
perguruan. Peluang-peluang yang sama perlu diberikan kepada Institut Pengajian
Tinggi dan Institut Perguruan di seluruh negara yang terlibat dalam bidang
pendidikan. Kursus- kursus yang melibatkan pelbagai kemahiran untuk
meningkatkan kualiti guru perlu diperbanyakkan dari masa ke masa. Selain tu,
bantuan bagi menggalakkan kolaborasi sesama pendidik di dalam negara dan juga
antarabangsa merupakan antara cara bagi mengukuhkan sistem pendidikan
kebangsaan. Malaysia mempunyai ramai pakar dalam bidang pendidikan, justeru
pakar-pakar ini perlu sentiasa berbincang secara berkala dan memperlihatkan
hasil perbincangan mereka agar penambahbaikan boleh dilakukan.
Selain itu, umum mengetahui bahawa
terdapat jurang pendidikan yang besar diantara
penduduk bandar dan luar bandar disebabkan oleh faktor ekonomi, insfrastruktur
dan keadaan geografi. Justeru, setiap anggota masyarakat yang mempunyai
pelbagai kemahiran boleh memainkan peranan dengan mempertingkat ekonomi luar
bandar bagi membantu sistem pendidikan mereka. Sebagai contoh satu kawasan luar
bandar dijadikan sasaran untuk meningkatkan mutu pendidikan mereka dengan cara
kehadiran anggota masyarakat yang mahir dalam bidang, keusahawanan, perikanan,
perternakan, pendidikan dan sebagainya. Secara tidak langsung, kepentingan
pendidikan ini dapat dirasai dikawasan tersebut lantas menlahirkan
individu-individu yang kompetitif dan cintakan ilmu.
Tuntasnya, sebagai salah seorang
warganegara yang cintakan tanah air, kita harus sama-sama membantu pihak
kerajaan khususnya bagi meningkatkan mutu pendidikan negara agar matlamat
menjadikan negara sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 menurut acuan
sendiri dapat dicapai. “Majulah pendidikan untuk negara”.
Nukilan,
Nur
Raihanah Binti Mohd Rozaimi, Bakal graduan, Universiti Sultan Zainal Abidin,
Terengganu.
No comments:
Post a Comment