Thursday 19 April 2012

Setuju dengan pendapat beliau


Saya memerhati isu 'Dataran Merdeka' ini beberapa hari. Mansuh PTPTN adalah yang diangkat oleh golongan Mahasiswa. Maka semalam kita tahu, 'Perkhemahan' mereka dirosakkan oleh 'satu kumpulan lain' bahkan bila dibaca-baca dari sumber yang pelbagai di alam maya kini, ada mahasiswa hingga dibelasah.

Saya dari satu segi, saya sudah menjangka perkara sebegini akan terjadi. Saya yakin, mereka yang memilih dan merancang untuk berkhemah di dataran Merdeka turut telah menjangka perkara ini. Kerana pada saya, jika mereka tidak menjangkanya, maka mereka hanyalah sekumpulan manusia yang naif akan satu perkara yang bernama 'perjuangan'.

Saya tidak arif perihal PTPTN. Maka bukan isu itu saya nak angkat di sini. Saya tidak meminjam PTPTN. Saya kira, ada orang telah/sedang berusaha membuat kajian akan hal PTPTN ini. Tukar atau mansuh, saya rasa itu boleh diperbincangkan oleh mereka yang arif, secara ilmiah, tanpa masukkan unsur kepartian dan emosi. Benda ini benda ilmiah. Saya nampak begitu. Maka perlukan penghujahan dan pendalilan yang matang. Bukannya berlawan 'siapa yang sebenarnya asaskan PTPTN'.

Sebab itu saya sangat menyokong 'Debat Terbuka' dibudayakan di Malaysia, agar rakyat terbuka matanya melihat pihak mana yang matang dalam berhujah, dan mendirikan kebenaran, selain mendapat ilmu dari perdebatan yang dilakukan. Debat Terbuka, apatah lagi jika disiarkan secara umum, pastinya yang kerjanya memaki-maki sahaja, yang tahu selak aib orang sahaja, akan kelihatan dangkal dan tidak mendapat sokongan. Saya tidak nampak di mana kurangnya jika 'Debat Terbuka' dilaksanakan. Bahkan, minda masyarakat akan terjana untuk meneroka dan mencari maklumat demi maklumat.

Berbalik kepada PTPTN, kerana kurangnya ilmu saya akannya, maka itu sahajalah statement saya. Macam saya kata, orang tak tahu, diam dan carilah 'tahu'. Bukan bising sekali.

Berkenaan Mahasiswa. Saya berpegang bahawa demonstrasi tidak pernah salah. Bahkan harus. Kerana ada dalil bahawa Rasulullah SAW menyuruh sahabatnya berdemonstrasi dengan mengeluarkan barang dari rumah, hinggalah tuntutannya diperhatikan. Jadi, Mahasiswa, mahu berdemonstrasi, terpulang. Itu hak mereka. Hak kita semua. Pihak lain kalau mahu berdemonstrasi juga, silakan. Dan benda yang sama, kalau tukar kerajaan, tetap boleh dilaksanakan.

Demonstrasi pada saya, adalah untuk meningkatkan 'awareness'. Apatah lagi apabila hari ini kita maklum, media utama negara tidak benar-benar bebas, dan sering memberikan maklumat yang tidak adil, untuk disumbatkan kepada orang ramai. Jadi, apabila berlaku demonstrasi, masyarakat akan mula bertanya dan mencari maklumat, mengapa satu-satu kumpulan itu berdemonstrasi dan menilai. Macam sekarang, kajian terhadap PTPTN dilakukan kebanyakan rakyat sendiri, hasil dari awareness yang ditingkatkan demonstrasi kali ini.

Namun, saya tidak pernah bersetuju apabila kita berdemonstrasi dengan membawa akhlak dan sikap kita yang buruk. Demonstrasi yang bertujuan untuk 'demonstrate', yang membawa maksud "Menunjukkan", akan menjadi tumpuan masyarakat. Sekiranya saya adalah yang menggerakkan demo, antara yang saya akan tekankan adalah akhlak dan sikap, selain keabsahan tuntutan. Mengapa?

Kerana 'demonstrate=menunjukkan' ini, akan menunjukkan kepada masyarakat juga bagaimana kita yang menatang perjuangan itu. Hati masyarakat kita, yang kita tahu telah dibasuh dan dibasuh dengan sikap kurang adab dunia politik, kelunturan akhlak orang-orang politik, inginkan 'sesuatu yang lain'. Kebenaran itu nombor dua. Siapa yang 'baik', itu nombor satu. Maka masyarakat melihat dan menilai demonstrasi ini dari dua segi. Kebenaran yang dibawa, dan akhlak yang dipersembahkan kita.

Apabila kita mula menunjukkan 'sikap tidak beradab', maka 'kebenaran' yang kita bawa automatik akan tercalar. Di situ, sokongan masyarakat akan berkurang. Dan sekiranya berlaku sesuatu yang buruk, maka masyarakat dengan mudah akan berkata: "Siapa suruh tempoh hari buat begini dan begitu" merujuk kepada kurang ajar kita sebelum ini.

Sebab itu, saya tidak bersetuju dengan 'batu nisan', dengan mengkalungkan 'bunga kematian' pada gambar dalam isu demonstrasi mansuh PTPTN ini. Begitu juga saya tidak pernah bersetuju dengan tindakan 'turun bendera', 'mentalkinkan', 'gantung mayat siap dikafankan' dalam kes-kes sebelum ini. Bahkan dalam kes Adam Adli, saya pernah kata bahawa itu adalah tindakan 'keanak-anakan yang sepatutnya orang tua boleh berlapang dada akannya, kerana ianya keanak-anakan'. Saya tidak nampak itu tindakan seorang pejuang. Cuma ketika itu, saya tekankan lebih kepada mereka yang sampai buat video ludah-ludah. Kerana saya nampak, orang tua yang sepatutnya perlu bijak 'melayan sikap keanak-anakan sedemikian'. Bukannya jadi anak-anak juga.

Tindakan-tindakan ini, membuatkan kebenaran yang diperjuangkan nampak cacat. Tanpa perlu media memanipulasikan itu dan ini sahaja, masyarakat sudah rasa 'semacam'. Lebih buruk apabila ianya 'disalut' dengan laungan-laungan 'Islamik'. Mengelirukan pula masyarakat yang melihat - "Begitukah Islam ajar dalam berjuang?"

Pada saya, Mahasiswa tidak patut melenting dengan teguran ini. Saya tidak nafikan hak untuk turun berdemonstrasi dan berjuang. Tetapi saya tegur ini, adalah agar ianya dapat dilaksanakan dalam keadaan tidak mencacatkan perjuangan. Ada sebab mengapa di dalam peperangan, Islam melarang tentera-tenteranya untuk memotong pokok sesuka hati, merobohkan bangunan sembarangan, menganggu mereka yang berada di dalam rumah, di dalam rumah ibadat, dan tidak membunuh orang tua, wanita dan kanak-kanak yang tidak menyertai peperangan. Ini kerana 'pandangan manusia' yang boleh menjadikannya satu fitnah. Dengan mudah, jika itu semua dilakukan, manusia boleh mencatat di dalam sejarah bahawa tentera Islam barbarik, sekaligus mencacatkan kebenaran Islam itu sendiri.

Sebab itu, kita lihat bagaimana dunia tidak mampu berkata apa, melainkan menghormati peristiwa-peristiwa besar di dalam Islam seperti Fathul Makkah oleh Rasulullah SAW dan Pembukaan Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayyubi, juga peperangan-peperangan bersejarah yang lain. Kerana ianya dilakukan dengan penuh adab dan hormat, walau dalam peperangan. Jadi, apatah lagi kita yang berdemonstrasi.

Manusia ini dia suka tengok 'orangnya' dulu sebelum 'hujahannya'. Kalau orangnya tidak baik, hujahannya tepat pun takkan mahu didengari. Kalau orangnya baik, hujahannya dangkal pun disanjungi.

Dan buruknya bila kita provok-provok, bawa sikap yang menjengkelkan, buat sesuatu yang tidak beradab, apabila kita 'diserang', 'diganggu', sukar masyarakat hendak merasa kasihan. Bahkan kita akan diperlekehkan - "Dulu kata dah tak percaya polis, buat apa minta tolong diorang?" antara ayat yang 'digemari' untuk buat para mahasiswa rasa seperti meludah ke langit dan akhirnya kena muka sendiri.

Jadi, itu untuk Mahasiswa. Saya tegur, kerana saya rasa sayang pada semangat anak muda yang seangkatan dengan saya. Rugi jika ini semua sekadar menjadi fitnah kepada perjuangan itu sendiri, kemudian mencalarkan pula wajah kebenaran yang hendak dibawa.

Dan kepada kumpulan yang pergi robohkan khemah-khemah para pendemo.

Ini negara samsengkah? Mereka berkhemah di dataran itu, ganggu andakah? Mereka pukul andakah? Mereka pergi rumah anda dan rosakkan barangan andakah?

Anda rasa anda 'pejuang'kah dengan melakukan sedemikian rupa kepada mereka ini? Apa yang saya cakap pada mahasiswa tadi, sebenarnya sama sahaja perginya kepada yang ingin 'menegur', 'memberikan pengajaran/didikan' kepada mahasiswa-mahasiswa ini.

Bukan robohkan khemah caranya. Bukan rosakkan barangan orang caranya. Tidakkah anda lihat, betapa jeleknya dan pengecutnya tindakan sedemikian? Ini hanya akan membuat orang lebih marah!

Ini negara apa ini yang boleh biarkan samseng-samseng sebegini berkeliaran? Saya dimaklumkan pula, mereka ini bukannya golongan anak muda. Tetapi lebih tua.

Ayah-ayah yang saya kasihi, begitukah caranya?
Sebagaimana saya hilang hormat kepada aksi-aksi yang tidak saya senangi yang dilakukan mahasiswa, begitulah saya hilang hormat kepada tindakan mereka yang merobohkan khemah-khemah ini dan membelasah orang sesuka hati. Bahkan, jika mereka ini lebih tua, maka saya jauh lebih daripada sekadar hilang hormat. Orang tua, tetapi perangai seperti kanak-kanak!

Pada saya, saya tidak nampak peristiwa-peristiwa yang berlaku di Malaysia ini patut ditangani dengan sedemikian rupa. Tidakkah kita sedar tindakan kita 'dilihat' dan 'diperhatikan'? Masyarakat melihat. Menilai.

Para samseng, anda ingin mendalulatkan kerajaan yang sekarang, terpulang. Silakan. Tetapi dengan cara yang terhormat. Bukan dengan sesamseng ini!

Bukankah ini telah mencalarkan imej orang yang anda pertahankan? Anda ada lesen apa nak roboh-robohkan khemah orang, belasah orang dan sebagainya? Polis pun tidak tangkap dan berkas mereka ini, walau saya yakin pihak polis berkemampuan. Polis pun, saya kira, belajar dari peristiwa-peristiwa sebelum ini.

Tetapi tindakan samseng-samseng ini sekadar mencalarkan nama pihak yang ingin dipertahankan.

Bukan begini caranya. Apa salahnya gunakan cara yang terhormat? Kumpul sesiapa yang rasa tidak puas hati, tidak senang dengan demonstrasi ini, dan buat perjumpaan terang-terangan, gunakan ayat-ayat yang baik dan sikap yang matang. Kalau Mahasiswa membalas dengan kalimah-kalimah yang kesat, buat lagi provokasi, maka bukankah yang menang adalah yang lebih berakhlak? Macam saya kata, masyarakat melihat dan menilai.

Jadi saya kira, itu sahaja pandangan saya.
Pada saya, ini 'pertandingan persembahan' selain 'perjuangan menegakkan kebenaran'. Mereka yang keluar 'berjuang', walau atas dasar apa sekalipun, suka saya ingatkan bahawa, kami masyarakat luar melihat.

Ya, saya menulis ini di atas kerusi, di hadapan komputer, di dalam bilik rumah, jauh di Jordan sana. Jangan lempar pada saya 'Alah, turun demo malas, komen pandai'. Itu sekadar menunjukkan ketidak matangan anda dalam menilai idea yang saya lontarkan. Begitu juga jika pihak satu lagi hendak berkata 'Kau membesar kat negara Malaysia ni, takkan sokong pendemo kut?'. Jangan, jangan lempar begitu pada saya. Itu tidak matang.

Sekiranya kita lihat dengan matang,
apa yang saya coretkan ini bukan untuk melemahkan.
Tetapi untuk difikirkan, digunakan untuk 'menguatkan'.
Saya nak kata di sini, ini bukan sahaja 'perjuangan menegakkan kebenaran' baik yang dirasakan 'kebenaran' oleh pihak pendemo, mahupun 'kebenaran' pada pihak yang tidak senang dengan apa yang diperjuangkan pendemo.

Tetapi ini juga adalah perjuangan 'menawan hati masyarakat' yang menilai dan melihat. Jangan sampai nama perjuangan ini tercalar. Jadi saya kira, pihak mana yang suka hendak melihat perjuangannya naik, dia akan tukar strategi mereka, perkemaskan lagi apa yang perlu diperkemaskan.

Anda bukan sesiapa,
tanpa sokongan majoriti masyarakat negara kita.
---------------------------------------------

Semoga boleh ditimbang-timbangkan.

Antara ciri perjuangan adalah,
ia memakan masa yang panjang.
Sebelum kita, telah berlalu pejuang-pejuang yang lain,
telah banyak waktu dan tenaga diperahkan,
maka jangan pula kerja kita 'sekadar merobohkan'.

Itu namanya berlari dalam bulatan.
Ini pergi kepada mana-mana pihak, yang menyatakan dirinya sedang berada dalam 'perjuangan'.

Unexpected Gift from Allah

How should i start this story? Actually i never thought to have a baby right after getting married. I just go with the flow~.. Itu dulu...