Friday 13 January 2012

Mahasiswa Perlu Lebih Pandai Menilai.

Hari ini jika dilihat pergerakan mahasiswa itu, seakan-akan seimbang. Ada yang memilih jalan untuk menjadi pemerhati, ada yang menjadi aktivis dan ada yang memilih jalan yang selamat. Namun akar umbi dalam setiap perjuangan adalah sama untuk memartabatkan hak dan peranan mahasiswa itu sendiri. Perkara yang membezakan ialah kaedah pelaksaan dan "Point Of  View" mahasiswa itu sendiri.

Ketidaksamaan pendapat adalah normal bagi sesuatu perkara. Namun dalam ketidaksamaan itu perlu ada perasaan hormat menghormati dengan pandangan orang lain agar nilai-nilai murni yang dibangga-banggakan atas dasar orang timur terus terpelihara. Mahasiswa kini "dihentak" dengan pelbagai persoalan dan pendapat yang pelbagai dari segenap segi dan juga dari pemimpin-pemimpin luar samada dari pihak yang menyokong kerajaan dan juga dari pembangkang. Bagi mereka yang tidak mengetahui sesuatu dasar atau tidak punya pegangan yang tetap mereka sering terikut-ikut dengan pergerakan yang ekstrimis oleh mahasiswa yang agak keterlaluan.

Media elektronik seperti facebook, twitter dan juga youtube menyumbang maklumat yang pantas kepada setiap individu yang bergelar mahasiswa. Untuk mengetahui sesuatu perkara yang sedang berlaku di dalam negara mahupun diluar negara bukanlah suatu yang mustahil apabila teknologi tanpa sempadan ini digunakan untuk segala ruang lingkup kehidupan. Namun apa yang menjadikan perbezaan setiap individu ialah jati diri dan pegangan hidup mereka. Tidak dinafikan peranan mahasiswa sememangnya penting dalam mencorak masa hadapan negara kerana mahasiswa ialah benih-benih muda dimana idea-idea yang dibentangkan ialah idea-idea baru yang mampu merubah pentadbiran negara ke arah yang lebih matang dan mapan. Namun, sebelum perkara-perkara seperti ini dicapai, mahasiswa perlu membuktikan bahawa peluang yang diberikan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading tidak disia-siakan begitu sahaja. Mahasiswa sering menjulang hak kemahasiswaan namun dalam masa yang sama, hak ibu bapa untuk melihat kejayaan anak mereka dan juga hak pemberi pinjaman pelajaran perlulah ditunaikan. 

Hal ini tidak bermaksud untuk menyempitkan fikiran mahasiswa hanya kearah akademik, namun perkembangan akademik dan nilai tambah lain seperti aktif dalam kepimpinan, sukan dan seni budaya itu perlulah selari. Untuk mencapai sesuatu perkara yang diinginkan tidak semestinya dengan cara yang ekstrem. Meja rundingan sentiasa terbuka untuk sebarang masalah. Sesetengah mahasiswa sedar birokrasi menghalang mereka daripada bersuara. Namun banyak cara dan jalan lain yang mampu mahasiswa ikuti untuk menyampaikan suara mereka. Apa yang menjadi kebimbangan kini ialah hilangnya rasa hormat menghormati dalam kalangan mahasiswa itu sendiri disebabkan berbeza ideologi dan pandangan. Lebih teruk lagi sesetengah mahasiswa hanya mampu bersuara di laman-laman sesawang namun hakikatnya menjadi seorang yang pengecut apabila berada dihadapan ramai. Malaysia sudah tentunya tidak mahu melahirkan mahasiswa seperti ini yang bakal merugikan negara kita.

Tuntasnya mahasiswa perlu sedar, setiap sesuatu perkara yang dilakukan akan mencerminkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Jangan terlalu mengikut perasaan dan berfikirlah secara rasional sebelum melakukan sesuatu perkara. Bagi mahasiswa yang baru berjinak-jinak ingin menceburkan diri dalam sesuatu perkara baru, fahami dan telusuri dahulu sesuatu dasar yang ingin mereka ikuti. Tidak salah untuk berjuang dengan ilmu tetapi jangan berjuang hanya dengan mengikuti kata orang lain. Sesungguhnya mahasiswa penggerak masa hadapan Malaysia. Oleh itu mahasiswa hari ini perlu sedar dengan perkara yang berlaku disekeliling kita agar kita tidak menjadi seperti lalang, ditiup angin ke kanan, ke kananlah kita, ditiup angin ke kiri, ke kirilah kita. Biarlah mahasiswa hari ini lebih pandai menilai sesuatu perkara agar lebih dihormati dan berguna kepada masyarakat setempat.

Dari Meja,
Nur Raihanah Binti Mohd Rozaimi,
Timbalan Presiden 2,
Majlis Perwakilan Pelajar 
Universiti Sultan Zainal Abidin. 


Unexpected Gift from Allah

How should i start this story? Actually i never thought to have a baby right after getting married. I just go with the flow~.. Itu dulu...